Jumaat, 23 Februari 2007

Malaikat Peribadi

Rasulullah s.a.w. ada bersabda, katanya, " Setiap anak Adam akan dijaga oleh dua malaikat. Malaikat yang di sebelah kanan lebih berkuasa dari yang sebelah kiri." Sekiranya seseorang anak Adam melakukan dosa maka malaikat yang di sebelah kiri akan bertanya pada malaikat di sebelah kanan. Katanya, "Apakah yang harus aku catit?" Kata malaikat di sebelah kanan, "Jangan kamu catit dahulu dosanya sehingga ia melakukan 5 kesalahan."

Malaikat yang di kiri bertanya lagi, "Kalau ia telah melakukan 5 kesalahan, apa yang harus aku catitkan?" Jawab malaikat kanan, "Biarkannya, sehingga ia membuat kebaikan kerana kami telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa satu kebaikan akan mendapat 10 pahala. Oleh itu hapuskanlah 5 kesalahannya yang lalu sebagai tebusan dan kami masih simpankan untuknya 5 pahala lagi."

Tercenganglah syaitan mendengarkannya lalu berkata, "Kalau macam ini sampai bilakah aku dapat merosakkan anak Adam.' Demikianlah rahmat Allah pada hambanya, kasih sayangNya melimpah ruah tiada terbatas hanya hambanya saja yang lalai dan leka dengan keseronokkan serta kemewahan.

Pahala Selepas Mati

Anas r.a. berkata, "Ada 7 pahala yang akan tetap diterima oleh seseorang itu apabila ia mati kelak iaitu;

01. Orang yang mendirikan masjid dan masjid itu terus digunakan oleh orang ramai sebagai tempat untuk beribadah.

02. Orang yang mengalirkan air sungai selagi mana orang tetap menggunakannya.

03. Orang yang menulis mushaf selagi masih ada orang yang membacanya.

04. Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang memanfaatkannya.

05. Orang yang menanam buah-buahan selagi ada yang memakan buahnya sama ada manusia atau pun binatang.

06. Orang yang mengajarkan ilmunya selagi ilmu itu diamalkan oleh mereka yang mempelajari.

07. Orang yang meninggalkan anak yang soleh. Anak itu sentiasa mendoakan akan kesejahteraan kedua orang tuanya.


Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda, katanya, " Apabila telah mati anak Adam itu maka terputuslah semua amal ibadatnya kecuali pada 3 perkara iaitu;

01. Sedekah jariah

02. Ilmu yang berguna dan dimanfaatkan oleh pengamalnya.

03. Anak yang soleh yang tidak lupa mendoakan ibu bapanya.