Sabtu, 2 Disember 2006

Arak menjadi madu

Dari sebuah riwayat, pada suatu hari sedang Umar R.a. berjalan-jalan di sekitar bandar Madinah maka terlihatlah olehnya seorang pemuda yang berjalan dengan membawa suatu barang di dalam bajunya, kerana nampak kelainan lalu bertanyalah Umar r.a. "benda apakah yang kamu bawa di dalam baju kamu itu?" Mendengar soalan dari seorang khalifah maka bergementar pemuda itu kerana barang yang disembunyikan di dalam bajunya adalah botol arak.
Kerana terlalu takut bersumpahlah ia di dalam hatinya, " Ya Tuhanku! janganlah Engkau malukan aku di hadapan Umar, aku berjanji selepas ini aku tidak akan meminumnya buat selama-lamanya." Lalu bersuaralah pemuda ini kepada Umar, katanya ,"Ya Amirul Mukminin! sebenarnya dalam bajuku ini adalah botol madu." Berkata Umar, "cuba kamu keluarkan,aku mahu melihatnya." Dengan bergetar-getar ia memberikan botol itu pada Umar. Dengan kehendak Allah arak tadi telah bertukar menjadi madu lalu Umar pun mengembalikannay semula. Pemuda ini berasa sungguh hairan namun ia tetap bersyukur dan selepas kejadian itu ia tidak lagi menyentuh arak.